Tauhid (
bahasa Arab:
توحيد) merupakan konsep
monoteisme Islam yang mempercayai bahawa
Tuhan itu hanya satu. Tauhid ialah asas
Aqidah. Dalam bahasa Arab, "Tauhid" bermaksud "penyatuan", sedangkan dalam Islam, "Tauhid" bermaksud "menegaskan penyatuan dengan
Allah".
Lawan untuk Tauhid ialah "mengelak daripada membuat", dan dalam bahasa
Arab bermaksud "pembahagian" dan merujuk kepada "penyembahan berhala".
Tauhid menurut bahasa ertinya mengetahui dengan sebenarnya Allah itu
Ada lagi Esa. Menurut istilah, tauhid ialah satu ilmu yang membentangkan
tentang wujudullah (adanya Allah) dengan sifat-Nya yang wajib, mustahil
dan jaiz (harus), dan membuktikan kerasulan para rasul-Nya dengan
sifat-sifat mereka yang wajib, mustahil dan jaiz, serta membahas segala
hujah terhadap keimanan yang berhubung dengan perkara-perkara sam’iyat,
iaitu perkara yang diambil dari Al-Quran dan Hadis dengan yakin.
Sebahagian ulama mentakrifkan ilmu tauhid sebagai berikut:
"Ilmu tauhid ilmu yang menerangkan hukum-hukum syarak dalam bidang
i’tiqad yang diperoleh dari dalil-dalil yang qat’i (pasti) yang
berdasarkan ketetapan akal, Al-Quran dan Hadis."
Persoalan ‘Apa itu tauhid?’ seringkali dijawab dengan ayat-ayat yang
bermaksud bahawa puncak kenyataan tauhid adalah ucapan kalimah syahadah,
dan sering juga berlaku apabila jawapan itu diungkap tanpa sedikit pun
mengetahui makna ucapan itu. Jika yang ditanya mempunyai lebih
pengetahuan, maka padanya, Tuhan itu ialah yang menciptakan sendiri
kerajaan-Nya, dan jawapan yang diberi akan berkait rapat dengan tauhid
rububiyah sahaja.
Kalimah ‘laa ilaha illallah’ bermaksud tidak ada Tuhan selain Allah.
Kalimah ini menunjukkan bahawa manusia tidak ada tempat bersandar,
berlindung dan berharap kecuali Allah. Tidak ada yang menghidupkan dan
mematikan, tiada yang memberi dan menolak melainkan Allah. Zahirnya
syariat menyuruh kita berusaha beramal, sedang hakikatnya syariat
melarang kita menyandarkan diri pada amal usaha itu supaya tetap
bersandar pada kurnia Allah. Konsep ini melahirkan konsep tawakkal,
dimana selepas kita berusaha, tetap kita perlu kepada Allah.
Tauhid bukanlah sekadar ucapan ‘laa ilaha illallah’, walaupun ucapan
tersebut merupakan sebahagian daripadanya. Tetapi tauhid itu adalah nama
untuk pengertian yang agung dan ucapan yang mempunyai erti yang besar,
lebih besar dari semua pengertian. Tauhid ialah pembebasan terhadap
penyembahan kepada semua yang bukan kepada Allah dan penerimaan dengan
hati serta pengibadahan kepada Allah semata.
- Allah berfirman
- “Sedangkan Tuhan kamu ialah Tuhan Yang Maha Esa, tidak ada Tuhan
melainkan Dia Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang” (QS 2:163)
- Dan Allah berfirman lagi
- “Hai kaumku, bagaimanakah kamu, aku menyeru kamu kepada keselamatan,
tetapi kamu menyeru aku kepada neraka? Kenapa kamu menyeruku supaya
kafir kepada Allah dan menyekutukan-Nya dengan apa yang tidak aku
ketahui, padahal aku menyeru kamu beriman kepada Yang Maha Perkasa lagi
Maha Pengampun?” (QS 40:41-42)
Ayat-ayat begini banyak dalam Al-Quran dan menerangkan bahawa erti
dua kalimah syahadah adalah bebas dari penyembahan kepada selain Allah,
dan mengkhususkan Allah sahaja untuk penyembahan itu. Inilah petunjuk
dalam beragama dan untuk perkara inilah Allah mengutus para rasul-Nya
dan untuk perkara inilah juga Allah menurunkan semua kitab-Nya.
Orang-orang musyrik sebenarnya percaya dengan kewujudan Allah, dan
mereka mencari perantara untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah lalu
diharapkan kepada rahmat-Nya dan takut akan siksa-Nya. Ibn Abbas
berpendapat bahawa yang mereka seru dengan doa ialah Isa, Maryam dan
Uzair. Athaa’ dan ad-Dhahhaq pula berpendapat mereka menyeru pada para
malaikat.
Yang dibenarkan dalam Islam bukanlah berdoa kepada malaikat atau nabi
atau perantara lainnya. Islam menuntut kita agar hanya rasa takut dan
berharap kepada Allah kerana itu hak Allah kepada hambanya. Suatu kisah
terjadi dizaman Rasulullah s.a.w, dimana seorang pencuri telah dipotong
tangannya, lalu dia berkata kepada Nabi, “Allahumma Ya Allah!
Sesungguhnya aku bertaubat kepada Allah dan aku tidak bertaubat kepada
Muhammad.” Nabi s.a.w langsung bersabda, “Dia mengetahui yang hak bagi
yang berhak.” Perkara ini menunjukkan bahawa yang patut ditakuti,
digeruni, diharapkan dan dipanjatkan doa ialah Allah, dan Allah semata.
Demikianlah para ahli tafsir, dengan bukti-bukti seperti di atas, menyatakan:
"Maka teranglah bahawa erti tauhid dan syahadat laa ilaha illallah
ialah meninggalkan perbuatan orang-orang musyrik, iaitu berdoa kepada
orang-orang saleh, atau malaikat atau jin dalam meminta pertolongan
Allah untuk menghilangkan bahaya atau mendapatkan rahmat."
Orang Islam mempercayai bahawa Allah tidak boleh disamakan dengan makhluk atau konsep
yang lain. Monoteisme Islam adalah mutlak, bukannya relatif atau majmuk
dalam semua erti kata perkataan ini. Oleh itu, orang Islam menolak
konsep Triniti yang dipegang oleh kebanyakan orang Kristian yang memerihalkan Tuhan sebagai tiga makhluk.
Makna Tauhid Rububiyah
Rububiyah berasal dari perkataan rabb. Kalimah ini mempunyai beberapa
pengertian seperti pemimpin, pemilik, penguasa dan pemelihara. Namun
pengertian rububiyah tidak mencakupi semua yang di atas, dan sifat yang
sempurna hanyalah milik Allah s.w.t. Rububiyah ialah tuhan yang mengatur
segala sesuatu. Maka tauhid rububiyah berkisar mengenai cara-cara
seorang hamba mengesakan Allah sebagai tuhan yang satu dalam konteks
Tuhan yang menguruskan keperluan-keperluannya.
Tauhid Rububiyah
bermaksud Allah ialah Tuhan pengatur segala sesuatu, Dia pemiliknya,
Dia pencipta aturannya dan pemberi rezekinya. Sesungguhnya Dia yang
menghidupkan, yang mematikan, yang memberi manfaat, yang mendatangkan
hukum mudarat dan Dia menerima doa terutama dalam kesukaran. Semua
perkara adalah bagi-Nya, ditangan-Nya terletak seluruh kebaikan, Dia
berkuasa atas apa sahaja yang Dia kehendaki dan tidak ada sekutu
bagi-Nya dalam hal ini, termasuklah qada’ dan qadar seseorang. Semua
hamba-Nya berhajat kepada Allah sahaja.
- Allah berfirman
- “Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah; dan Allah
Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.” (QS
35:15)
Namun tauhid ini sahaja tidak cukup untuk menjamin seseorang hamba
bahawa dia ialah seorang Muslim, tetapi perlu disusuli dengan tauhid
uluhiyah iaitu mengesakan Allah dalam ketuhanan-Nya, kerana orang
musyrik juga mempercayai Allah dalam tauhid rububiyah, namun tidak
mengabdikan diri kepada-Nya.
- Allah berfirman
- “Tanyakanlah: siapakah yang memberi rezeki kepada kamu dari langit
dan bumi? Atau siapakah yang berkuasa sanggup menciptakan pendengaran
dan penglihatan? Siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati
dan yang mati dari yang hidup? Dan siapakah yang mengatur segala urusan?
Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak
bertakwa?” (QS 10:31)
- Dan firman Allah
- “Dan sesungguhnya jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah” (QS 43:87)
- Allah berfirman lagi
- “Dan sesungguhnya jika kamu tanyakan kepada mereka: Siapakah yang
menurunkan air dari langit, lalu menghidupkan bumi dengan air itu
sesudah matinya? Tentu mereka akan menjawab: Allah” (QS 29:63)
Ketiga-tiga ayat diatas merupakan antara ayat-ayat yang menunjukkan
bahawa orang musyrik mengakui kewujudan Allah, namun menyekutukan-Nya
dengan sesuatu yang lain.
Bukti-bukti Tauhid Rububiyah
Bukti-bukti kewujudan Allah amat banyak. Dia adalah Tuhan yang
sebenarnya, tiada yang menyerupai-Nya baik pada zat, sifat mahupun
perbuatan. Tiada yang terlepas dari kekuasaan Allah baik dari
sekecil-kecil sampai sebesar-besarnya, dan semuanya tunduk mengakui
Allah sebagai Tuhannya. Kerana itu, Dialah Tuhan yang sebenarnya bagi
alam semesta. Akal manusia pasti tidak dapat menerima bahawa alam
semesta ini terjadi dengan sendirinya, dan teratur pula, jika tiada
pencipta dan pengaturnya. Mana mungkin sebuah rumah boleh siap hanya
dengan air hujan melekukkan gunung hingga terjadi rumah yang siap cantik
dengan bilik-biliknya. Jika perkara begini tidak dapat diterima akal,
masakan alam yang luas ini dapat terjadi dengan sendiri, lalu mengatur
semua hidupan-hidupannya.
Kerana itu nyatalah bahawa Allah itu Tuhan yang sebenarnya, dialah
yang menciptakan segala sesuatu. Bukti tentang adanya penciptaan nyata
jelas sehingga setiap orang dapat menemuinya dengan akalnya yang
sederhana tanpa perlu panjang fikirnya. Lagipun, sudah menjadi sifat
semula jadi manusia untuk percaya kepada adanya pencipta, baik mereka
itu beriman ataupun tidak.
- Allah s.w.t berfirman
- “Dan jika kamu tanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan
langit dan bumi? Nescaya mereka akan menjawab semuanya diciptakan oleh
Yang Maha Perkasa lagi Maha Mengetahui.” (QS 43:9)
Kafir dan Musyrik dan Tauhid Rububiyah
Sebenarnya orang-orang kafir dan musyrik pada umumnya percaya bahawa
Allah memang sebagaimana yang diungkap ayat-ayat Quran diatas, namun
dengan mempercayai sahaja belum cukup untuk menjamin mereka sebagai
orang Islam.
Allah berfirman:
- “Dan sebahagian besar mereka tidak beriman kepada Allah, melainkan dalam keadaan menyekutukan-Nya.” (QS 12:106)
Mujahid menyatakan ayat ini menceritakan tentang iman mereka kepada
Allah hanyalah ucapan di lidah sahaja: sesungguhnya Allah menciptakan
kami, memberi rezeki kepada kami dan mematikan kami. Namun mereka tetap
menyekutukan Allah dalam ibadah mereka. Diriwayatkan dari ibn Jarir, ibn
Abi Hasim dan dari ibn Abbas, Athaa’ dan Dhahhak, amat jelas bahawa
orang kafir itu mengetahui Allah, pengaturan-Nya, kerajaan-Nya dan
kekuasaan-Nya. Malahan mereka beribadat pula kepada-Nya seperti ibadah
haji, sedekah, korban dan doa diwaktu kesukaran dan sebagainya. Ada yang
mendakwa perbuatan mereka berdasarkan agama Nabi Ibrahim, dan ada juga
yang percaya dengan hisab, qada’ dan qadar. Dua keratan puisi Arab
dibawah merupakan bukti kepercayaan mereka.
"Dia mengakhirkan dan berkehendak diletakkan di dalam kitab. Atau dia segera akan merasakan siksa pada hari berhisab"
"Hai Abla ke mana anugerah yang sirna
Tuhanku di langit menetapkan qadha"
Seorang yang waras dan sihat akalnya pasti tertanya apa yang
mendorong mereka menulis syair-syair sebegini rupa, dan dari mana mereka
memperoleh pengetahuan mengenai hisab dan sebagainya. Pertanyaan ini
mudah dijawab: mereka syirik dalam tauhid ibadah dan mereka melanggar
peng-Esaan Allah dalam beribadah.
Syirik dalam Tauhid Rububiyah
Syirik dalam rububiyah ini adalah mempersekutukan Allah dalam
pengaturan-Nya terhadap seluruh makhluk. Terdapat dua jenis syirik
rububiyah:
1. Syirik ta’thil Syirik ta’thil adalah syirik yang menidakkan Allah
sebagai Rabbul Alamin. Syirik ini adalah sejelik-jelik syirik, seperti
syiriknya Firaun, kerana Firaun berkata :
"
Apa Tuhan pemelihara segenap alam itu?" (QS 26:23)
Ahli falsafah pula menjadi syirik apabila mereka berpendapat seperti yang berikut:
"
Alam itu adalah kekal dan qadim, dan bukanlah alam itu berasal
dari ketiadaan. Alam tidak akan berkurang atau hilang lenyap. Kejadian
yang baru pula adalah bersebab dan dapat dicari sebab itu, kerana asal
sebab itu adalah akal fikiran dan jiwa."
Begitu juga dengan orang-orang yang menganut atheisme (tidak
bertuhan), pantheisme (tuhan dan makhluk ciptaannya sama) dan politeisme
(menyembah banyak tuhan).
2. Syirik bahawa berserta Allah ada tuhan lain Syirik ini percaya
bahawa disamping adanya Allah ada lagi tuhan yang lain. Inilah ajaran
yang dipegang orang-orang Kristian, Hindu dan Majusi. Kristian menjadi
orang musyrik kerana percaya dengan trinity atau tiga tuhan. Penganut
Hindu pula bertuhankan dengan tuhan Trimurti, juga dengan tiga tuhan.
Orang Majusi pula yakin bahawa yang baik itu datang dari cahaya (terang)
manakala perkara buruk dikaitkan dengan kegelapan, sedangkan segala
yang baik mahupun yang buruk datang dari Allah jua.
Tauhid Uluhiyah
Makna Tauhid Uluhiyah
Jika rububiyah berasal dari perkataan rabb yang bermaksud Tuhan yang
mengatur alam dan segala isi-isinya, uluhiyah pula berasal dari
perkataan ilah yang bermaksud Tuhan yang patut disembah. Maka dari itu
terbitlah pengertian bahawa tauhid uluhiyah ialah mengesakan Allah
sebagai tuhan yang satu dalam konteks ikhlas beribadah kepada-Nya.
Tauhid Uluhiyah
adalah peng-Esaan Allah dalam ketuhanan. Ketauhidan ini dibina atas
dasar ikhlas kerana Allah semata-mata, bersama rasa cinta, takut,
mengharap, tawakal, gemar dan hormat secara menyeluruh hanya kepada
Allah. Tauhid uluhiyah itu mengesakan Allah dalam ketuhanan, kerana
dasar aqidahnya dibangun atas keikhlasan bertuhan. Dan dalam mendapatkan
keikhlasan itu perlu pula kepada cinta yang amat sangat kepada Rabbul
Izzah Allah Maha Esa.
- Allah berfirman
- “Hanya kepada Engkau kami menyembah dan hanya kepada Engkau kami memohon pertolongan” (QS 1:4)
- Dan Allah berfirman
- “Jika mereka berpaling dari keimanan maka katakanlah: Cukuplah Allah
bagiku, tidak ada Tuhan selain Dia, hanya kepada-Nya aku bertawakal,
sedang Dia adalah Tuhan pemilik Arasy yang agung” (QS 9:129)
- Sampai kepada firman Allah
- “Dan bertawakallah kepada Allah yang hidup kekal yang tiada mati dan
bertasbihlah memuji-Nya. Dan cukuplah Dia Maha Mengetahui dosa-dosa
hamba-Nya” (QS 25:58)
Tauhid uluhiyah juga dipanggil tauhid ubudiyah kerana ubudiyah
berasal dari perkataan abd yang bermaksud hamba. Oleh kerana ilah
bermaksud tuhan yang patut disembah, maka yang paling sesuai
menyembah-Nya pastilah hamba-Nya sendiri. Tauhid ini juga digelar tauhid
iradah atau tauhid kehendak, kerana setiap hamba itu berkehendak kepada
beribadah terhadap tuhan. Sifat ‘berkehendak kepada tuhan’ ini
merupakan sifat yang memang semula jadi wujud dalam diri manusia, dan
Maha Bijaksana Allah apabila Dia menurunkan nabi-nabi dan rasul-rasul
untuk menunjukkan manusia cara yang betul untuk beribadah. Pendek kata,
tauhid ini dibina atas rasa ikhlas beramal semata-mata kerana Allah.
- Allah berfirman
- “...maka sembahlah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya” (QS 39:2)
- Dan Allah berfirman
- “...katakanlah:Maka terangkanlah kepadaku tentang apa yang kamu seru
selain Allah. Jika Allah hendak mendatangkan kemudaratan kepadaku,
adakah mampu berhala-berhala kamu menghilangkan mudarat itu? Atau jika
Allah mahu menurunkan rahmat-Nya kepadaku, adakah dapat berhala kamu
menahan turunnya rahmat-Nya?...” (QS 39:38)
- Sampai kepada firman-Nya
- “Katakanlah: Apakah kamu menyuruh aku menyembah selain Allah hai
orang-orang yang tidak berpengetahuan? Dan sesungguhnya telah diwahyukan
kepada kamu dan kepada nabi-nabi sebelum kamu, jika kamu menyekutukan
Allah, nescaya hapuslah amalmu dan tentulah kamu termasuk golongan yang
merugi. Kerana itu maka hendaklah Allah sahaja yang kamu sembah dan
hendaklah kamu termasuk orang-orang yang bersyukur” (QS 39:64-66)
Tauhid Uluhiyah adalah ajakan para Rasul
Tauhid adalah awal dan akhirnya agama serta batin dan lahirnya agama
manakala tauhid uluhiyah ini pula awal ajakan semua rasul termasuk
Rasulullah s.a.w dan akhir ajakan mereka juga, kerana mereka mahukan
semua umatnya beribadah kepada Allah.
- Allah berfirman
- “Dan Kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu,
melainkan telah Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tidak ada Tuhan
melainkan Allah, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku” (QS 21:25)
- Allah berfirman lagi
- “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya. Maka ia
berkata: Hai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (kerana) sekali-kali tdak
ada Tuhan bagimu selain Dia. Mengapa kamu tidak bertaqwa kepada-Nya?”
(QS 23:23)
- Dan Allah berfirman
- “Dan (Kami telah mengutus) kepada kaum ‘Ad saudara mereka Hud. Ia
berkata: Hai kaumku sembahlah Allah sekali-kali tidak ada Tuhan bagimu
selain-Nya. Mengapa kamu tidak bertakwa kepadanya?” (QS 7:65)
Sesungguhnya Al-Quran banyak menyebut tentang tauhid ini. Adakalanya
ajakan itu untuk menyembah Allah, tidak ada sekutu bagi-Nya dan mengajak
meninggalkan segala penyembahan selain kepada-Nya. Atau adakalanya ayat
itu memerintahkan beribadah sesuai dengan kemampuan tetapi tidak pula
melarang keringanan dalam beribadah itu. Jelas terlihat disini konsep
tauhid yang terlibat. Yang pertama berkisar tauhid uluhiyah iaitu
peng-Esaan Allah dalam ketuhanan manakala yang kedua berkisar tauhid
ubudiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam pengibadahan.
Manusia sombong dan Tauhid Uluhiyah
Rasul adalah seorang lelaki baik-baik yang diutus Allah untuk
mengajak dirinya dan umatnya menyembah Allah melalui wahyu yang
disampaikan Jibril. Sejak dari zaman Adam a.s sehingga Muhammad s.a.w,
banyak rasul telah diutuskan. Dalam satu riwayat, dikatakan bilangan
rasul mencapai 313 orang. Namun, sehingga hari ini, tetap ada
orang-orang yang membuat kerosakan di muka bumi ini. Apakah seruan para
rasul dari dulu sehingga kini tidak membuahkan apa-apa hasil ?
Sebenarnya, keingkaran manusia kepada adanya Pencipta hanya kerana
kesombongan dan ketakburan, bukan bererti fitrah manusia menolak adanya
Pencipta. Kerana itu apabila telah hilang penutup dan selaput yang
menutupi fitrah ini, dan sifat sombong dan takbur telah terkikis, maka
tanpa disedari manusia pada satu masa terpaksa menyerah diri kepada
Allah dan meminta tolong kepada-Nya.
Manusia yang melupakan tuhannya atau belum pernah terlintas dalam
ingatannya pada Tuhannya, pada suatu saat dia pasti, sama ada secara
paksa atau rela hati, mengakui adanya Yang Maha Kuasa, yang
kekuasaan-Nya mengatasi kekuasaannya sendiri sehingga dia terpaksa
menyerah diri kepada Tuhannya. Pemikiran seorang yang sedang terlantar
sakit terkujur di tempat pembaringan, seorang doktor dalam bilik
operasinya sedang menjalankan pembedahan, ataupun penumpang kapal
terbang yang tahu kenderaannya dalam bahaya hanya tertuju kepada Tuhan,
meminta tolong dan diselamatkan. Kepada Tuhan mereka menghadapkan diri
dan menyerahkan dirinya kepada kehendak Tuhan.
- Allah berfirman
- “Apabila mereka dilambung ombak yang besar seperti gunung mereka
menyeru Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya. Tetapi tatkala
Allah menyelamatkan mereka sampai didaratan, maka sebahagian mereka
sahaja yang tetap menempuh jalan yang lurus ” (QS 31 :32)
Tauhid Rububiyah Melahirkan Tauhid Uluhiyah
Tauhid rububiyah adalah merupakan keyakinan yang bulat dalam bentuk
pengakuan bahawa Allah adalah sumber penciptaan. Dari keyakinan demikian
lahirlah tauhid uluhiyah dalam bentuk pengakuan bahawa yang wajib
disembah hanyalah Allah, kerana Allah sumber penciptaan, dan ciptaan
perlu patuh pada penciptanya. Tidak ada sesuatu yang lain yang berhak
disembah melainkan Allah. Malahan ayat-ayat yang mengingatkan kaum
musyrikin tentang tauhid uluhiyah juga mencakupi peringatan tentang
tauhid rububiyah dan sebaliknya.
- Allah berfirman
- “Apakah mereka menyekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak
dapat menciptakan sesuatupun? Sedangkan berhala-berhala itu sendiri
buatan orang.” (QS 7:191)
- Dan Allah berfirman lagi
- “Apakah Allah yang menciptakan itu sama dengan yang tidak dapat
menciptakan apa-apa? Mengapa kamu tidak mengambil pengajaran?” (QS
16:17)
- Sampai kepada firman-Nya
- “Hai manusia! Telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu
perumpamaan itu. Sesungguhnya segala yang kamu seru selain dari Allah
sekali-kali tidak dapat menciptakan walau seekor lalat sekalipun,
walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat-lalat itu
merampas sesuatu dari mereka, tidaklah dapat mereka merebutnya kembali
dari lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemahlah pula yang
disembah.” (QS 22:73)
Dalam ayat ketiga, amat jelas kaitan antara tauhid rububiyah (Allah
sebagai satu-satunya Pencipta) dan tauhid uluhiyah (Allah sebagai
satu-satunya sembahan manusia). Ayat-ayat diatas dengan jelas
menerangkan kepada kaum musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain
Allah itu lemah, tidak dapat membuat sesuatu sekalipun lalat, begitu
juga kalau hatta seekor lalat menyerang persembahannya, tidak dapat
berhala itu menghindarkan dirinya dari serangan lalat tadi. Kerana itu
akal yang sihat tidak dapat menerima sembahan selain kepada Allah dan
tidak dapat menerima yang lain dari Allah itu disamakan dengan Allah.
Allah adalah Pencipta, sedang yang lainnya adalah ciptaan-Nya yang
mempunyai serba-serbi sifat kekurangan.
- Allah berfirman
- “Katakanlah: Kepunyaan siapakah bumi ini dan semua yang ada padanya
jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab kepunyaan Allah. Katakanlah:
Maka mengapa tidak kamu ingat? Katakanlah: Siapa yang empunya langit
yang tujuh dan yang empunya Arasy yang besar? Mereka akan menjawab:
Kepunyaan Allah! Katakanlah: Maka mengapa kamu tidak juga bertakwa
(kepada-Nya)? Katakanlah: Siapakah yang ditangan-Nya berada kekuasaan
atas segala sesuatu sedang Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat
melindngi dari(azab)-Nya jika kamu mengetahui? Mereka menjawab:
Kepunyaan Allah. Katakanlah: Maka dari jalan manakah kamu ditipu? Bahkan
kami sebenarnya telah membawa kebenaran kepada mereka, tetapi mereka
itu sesungguhnya adalah orang-orang yang berdusta.” (QS 23:84-90)
Al-Quran menunjukkan pengakuan orang-orang musyrik yang mengatakan
Allah sebagai pemilik langit dan bumi, dan Dia juga yang mengaturnya.
Kerana itu, hendaknya mereka menyembah Allah dan jangan sekali-kali
menyembah selain Allah.
Syirik Ketuhanan dan Syirik Ibadah
Jenis syirik ini pada syirik dalam tauhid uluhiyah dan tauhid ibadah.
Al-Qurthubi mengatakan: Asal syirik yang diharamkan adalah kepercayan
adanya sekutu bagi Allah dalam ketuhanan. Dan inilah syirik yang besar.
Demikian itulah syirik Jahiliyah.
Dan bersamaan besar syiriknya dalam tingkatan-tingkatan syirik adalah
kepercayaan adanya sekutu bagi Allah dalam perbuatan. Hal ini tergambar
pada pendapat orang yang mengatakan bahawa sebenarnya yang maujud ini,
apa-apa selain Allah, adalah bebas merdeka tentang kejadiannya,
perbuatannya dan manfaatnya. Mereka mempercayai kewujudan Tuhan, tetapi
melepaskan diri dari Tuhan. Begitulah pendapat Al-Qurthubi.
1. Syirik bahawa Allah ada tandingan Syirik ini ialah bahawa Allah
itu ada tandingan (taghut, andad) lalu diserunya seperti menyeru kepada
Allah dan meminta syafaat kepadanya seperti memohon kepada Allah. Orang
syirik yang semacam ini mengharap kepada andad itu sebagaimana mengharap
kepada Allah. Dia mencintai seperti mencintai Allah dan ditakuti
bagaikan takutnya kepada Allah. Pokoknya dia memperlakukan Allah itu ada
saingan yang disembahnya seperti dia menyembah allah, dan ini adalah
syirik yang amat besar.
- Allah berfirman
- “Sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu” (QS 4:36)
- Dan Allah berfirman
- “Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada tiap-tiap umat dengan tujuan: Sembahlah Allah dan jauhilah taghut” (QS 16:36)
2. Syirik kecil (riya’) Pendapat ini diambil dari ibn Qayim dan
lain-lainnya. Syirik kecil ini terjadi apabila seseorang itu beribadah
tidak ikhlas kerana Allah, bahkan beramal untuk kepentingan sendiri,
mencari keuntungan dunia, kedudukan atau pangkat di hadapan manusia.
Maka menurut pengertiannya setiap amal dan ibadahnya perlu ada habuan.
Perbuatan begini adalah syirik dan menyekutukan Allah.
Tauhid Asma Wa Sifat
Makna Tauhid Asma Wa Sifat
Asma adalah jama’ kepada kata ism. Oleh itu asma bermaksud nama-nama.
Tauhid asma wa sifat (nama-nama dan sifat) adalah pengesaan Allah
melalui nama-nama dan sifat-Nya.
Dengan lebih terperinci, tauhid asma wa sifat ialah beriman kepada
nama-nama Allah dan sifat-Nya, sebagaimana yang diterangkan dalam
Al-Qur'an dan Sunnah Rasul-Nya menurut apa yang sesuai bagi Allah s.w.t,
tanpa ta'wil dan ta'thil(menafikan), tanpa takyif (mempersoalkan) dan
tamtsil (menyerupakan). Boleh juga dikatakan bahawa tauhid ini adalah
beriman bahwa Allah memiliki nama dan sifat baik (asma ul-husna) yang
sesuai dengan keagungan-Nya. Umat Islam mengenal 99 asma ul-husna yang
merupakan nama sekaligus sifat Allah.
- Firman Allah
- “Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia, dan Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS 42:11)
Allah menafikan jika ada sesuatu yang menyerupai-Nya, dan Dia
menetapkan bahwa Dia Maha Mendengar dan Maha Melihat. Maka Dia diberi
nama dan disifati dengan nama dan sifat yang Dia berikan untuk diri-Nya
dan dengan nama dan sifat yang disampaikan oleh Rasul-Nya. Al-Qur'an dan
As-Sunnah dalam hal ini tidak boleh dilanggar, karena tidak seorang pun
yang lebih mengetahui Allah daripada Allah sendiri, dan tidak ada
sesudah Allah orang yang lebih mengetahui Allah daripada Rasul-Nya.
Maka barangsiapa yang mengingkari nama-nama Allah dan semua mahupun
sebahagian sifat-Nya atau menamakan Allah dan menyifati-Nya dengan
nama-nama dan sifat-sifat makhluk-Nya, atau menta'wilkan dari maknanya
yang benar, maka dia telah berbicara tentang Allah tanpa ilmu dan
berdusta terhadap Allah dan Rasul-Nya.
- Allah berfirman lagi
- “Siapakah yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah?” (QS 18:15)
Tauhid asma dan sifat adalah pernyataan ikrar bahawa sesungguhnya
Allah Maha Tahu keadaan segala sesuatu, Maha Kuasa, sesungguhnya Dia
Maha Hidup, Dia tidak tidur dan tidak lupa. Dia Maha Mendengar, Maha
Melihat, Maha Belas, Maha Kasih, Dia Maha Suci, Maha Sejahtera, Maha
Memelihara dan Maha Perkasa. Maha Suci Allah daripada apa-apa yang
disamakan dengan-Nya.
Tauhid ini belum cukup untuk memastikan seseorang itu menjadi seorang
Muslim, bahkan mesti disertai dengan tauhid rububiyah iaitu peng-Esaan
Allah dalam pengaturan dan tauhid uluhiyah iaitu peng-Esaan Allah dalam
ketuhanan.
Tauhid Asma Wa Sifat dan Orang Kafir
Orang kafir pada umumnya mengakui tauhid asma dan sifat, walaupun
memang ada yang mengingkarinya, kadang kala kerana kebodohan mereka
sendiri, atau memang kerana mereka golongan yang ingkar. Mereka berdalih
dengan mengatakan, “Kami tidak mengetahui Ar-Rahman selain Rahmanul
Yamamah.” Tentang hal ini, telah turun satu ayat.
- Allah berfirman
- “Padahal mereka kafir kepada Ar-Rahman (Yang Maha Pemurah)” (QS 13:30)
Ibn Katsir menyatakan, “Pada lahirnya pengingkaran mereka sebenarnya
adalah berisi penolakan dan iri, dalam kekafirannya mereka mengingkari
Ar-Rahman.” Perihal pengakuan mereka akan kewujudan tauhid asma wa sifat
jelas dalam syair-syair mereka.
"Apa yang dikehendaki Ar-Rahman mengikat dan mutlak"
"Perhatikan Sibiran Ar-Rahman Tuhanku adalah sumpah"
"Maka bagi Allah tiada tersembunyi apa dalam dirimu
Perkara apa pun yang tersembunyi Allah selalu tahu"
Perkara ini menunjukkan mereka mengetahui kewujudan Allah sebagai
Ar-Rahman, namun mereka masih mengingkari-Nya. Jika mereka tidak
menolaknya, pasti dari awal lagi orang kafir dan musyrik Makkah tidak
menolak agama bawaan Nabi Muhammad s.a.w kerana agama Islam merupakan
agama yang diturunkan Allah Ar-Rahman. Ayat-ayat Makkiyah penuh dengan
tauhid ini, kerana ingin memperbetulkan penggunaan dan menyucikan
nama-nama Allah dan semua sifat-Nya.
- Allah berfirman
- “Apakah dia menjadikan tuhan-tuhan yang banyak itu menjadi satu Tuhan sahaja? Sungguh ini memang satu kejutan!” (QS 38:5)
Sifat-Sifat Allah
Sifat |
Maksud |
Sifat Wajib |
Wujud |
Allah itu Ada |
Qidam |
Allah itu Sedia |
Baqa' |
Allah itu Kekal |
Mukhalafatuhu Lilhawadisi |
Bersalahan Allah dengan yang baru |
Qiyamuhu Binafsih |
Berdri Allah dengan sendiri |
Wahdaniyah |
Allah itu Esa |
Qudrah |
Allah itu Berkuasa |
Iradah |
Allah itu Berkehendak |
Ilmu |
Allah itu Berilmu |
Hayyun |
Allah itu Hidup |
Sama' |
Allah itu Mendengar |
Basar |
Allah itu Melihat |
Kalam |
Allah itu Berkata-kata |
Kaunuhu Taala Qadiran |
Allah keadaan-Nya Berkuasa |
Kaunuhu Taala Muridan |
Allah keadaan-Nya Berkehendak |
Kaunuhu Taala Aliman |
Allah keadaan-Nya Berilmu |
Kaunuhu Taala Hayyan |
Allah keadaan-Nya Hidup |
Kaunuhu Taala Sami'an |
Allah keadaan-Nya Mendengar |
Kaunuhu Taala Basiran |
Allah keadaan-Nya Melihat |
Kaunuhu Taala Mutakalliman |
Allah keadaan-Nya Berkata-kata |
Sifat |
Maksud |
Sifat Mustahil |
'Adam |
Tiada |
Hudus |
Baru |
Fana |
Tidak kekal |
Mumasaluhu Lilhawadis |
Bersamaan dengan yang baru |
Ihtiyaju Lighairih |
Tidak berdiri dengan sendiri |
Ta'addud |
Berbilang-bilang |
'Ajzun |
Lemah |
Karahiyah |
Terpaksa |
Jahlu |
Bodoh |
Mautu |
Mati |
Shaumu |
Pekak |
'Amaa |
Buta |
Bukmun |
Bisu |
Kaunuhu Taala 'Ajizan |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Lemah |
Kaunuhu Taala Mukrahan |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Terpaksa |
Kaunuhu Taala Jahilan |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bodoh |
Kaunuhu Taala Mayyitan |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Mati |
Kaunuhu Taala 'Ashamma |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Pekak |
Kaunuhu Taala 'Amaa |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Buta |
Kaunuhu Taala Abkam |
(Mustahil) Allah itu keadaan-Nya Bisu |
Terdapat satu lagi sifat Allah, iaitu sifat jaiz (harus) kepada
Allah. Allah bebas berbuat sekehendak-Nya, yakni jikalau Allah mahu,
boleh saja Dia membuatkan hari ini hujan sepanjang hari, atau boleh saja
Dia menghalang hujan dari turun. Inilah sifat jaiz bagi Allah.
Syirik dalam Penamaan Allah dan Sifat-Nya
Syirik peng-Esaan nama dan peng-Esaan sifat-sifat Allah kurang berat
jika dibandingkan dengan syirik rububiyah atau uluhiyah. Namun, perlulah
diingat bahawa semua syirik adalah sama. Hal ini boleh disamakan dengan
tangga. Rang tangga yang dibawah sekali ialah syirik peng-Esaan nama
dan peng-Esaan sifat-sifat Allah manakala rang tangga yang paling tinggi
ialah syirik ta’thil, namun ia tetap merupakan tangga, tidak kira di
atas atau di bawah. Syirik ini juga ada dua jenis:
1. Syirik penyerupaan Khaliq dengan makhluk Syirik penyerupaan Khaliq
dengan makhluk ialah seperti mana seseorang yang menyatakan pendapatnya
bahawa Allah itu mempunyai tangan yang sama dengan tangan manusia, atau
deria dan cara Allah mendengar adalah seperti manusia. Syirik ini ialah
syirik golongan Musyabbihat yang dikenali dengan nama Mujassimah atau
Karamiyah.
Pada penghujung abad pertama hijrah, telah muncul fahaman Jahmiyah
yang menolak sifat-sifat Allah yang meny erupai manusia seperti Ilmu dan
Hayyun kerana ingin membezakan Allah dengan manusia, dan fahaman ini
dikuatkan oleh fahaman Mu’tazilah yang muncul dizaman Abbasiyah. Maka
Muhammad ibn Karam Abu Abdullah As-Sijistaniy telah muncul untuk melawan
fahaman yang sesat ini. Namun dalam melawan golongan Jahmiyah dan
Mu’tazilah,
mereka menetapkan secara berlebih-lebihan sehingga menyerupakan Allah
itu berjisim. Maka mereka yang berpegang dengan hujah ini telah dihukum
syirik oleh Ahlu As-Sunnah wa Al-Jamaah.
2. Syirik penamaan Allah secara batil (salah) Syirik ini memberikan
Allah nama yang batil ataupun menyingkirkan Allah dari nama-nama yang
hak kepada-Nya. Golongan musyrik sering melakukan perkara ini. Mereka
merubah Ar-Rahman kepada Rahmanul Yamamah seperti yang telah disebut di
atas. Mereka juga memberi nama berhala mereka dengan nama-nama Allah
yang telah mereka ubah. Ibn Abbas berkata:
"
Mereka (orang Jahiliyah) mengumpat Allah pada nama-Nya, mereka
menyekutukan-Nya. Daripada-Nya mereka namakan Latta dari kata Ilah dan
Uzza dari kata Aziz."
Hal ini amat dibenci Allah. Dalam Al-Quran, beberapa kali Allah menyentuh tentang perkara ini.
- Allah berfirman
- “Dialah Allah, tidak ada Tuhan melainkan Dia. Dia mempunyai asma al-husna (nama-nama yang baik).” (QS 20:8)
- Dan Allah berfirman
- “Serulah Allah atau serulah Ar-Rahman. Dengan nama yang mana saja
kamu seru, Dia mempunyai asma ul-husna, dan janganlah kamu mengeraskan
suaramu dalam solat dan janganlah pula kamu rendahkan dan carilah jalan
tengah di antara kedua itu.” (QS 17:110)
- Sampai kepada firman Allah
- “Allah mempunyai asma ul-husna, maka bermohonlah kamu kepada-Nya
dengan menyebut asma ul-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang
menyimpang dari kebenaran dalam menyebut nama-Nya. Nanti mereka akan
mendapat balasan terhadap apa yang mereka kerjakan.” (QS 7:180)
Hamka menulis dalam tafsirnya mengenai ayat surah Al-A’raf ayat 180.
Menurut beliau, ayat tersebut bermaksud ‘janganlah dihiraukan
orang-orang yang menyembah Allah dengan nama-nama yang tidak sesuai
dengan sifat-sifat dan keagungan Allah, atau memakai asma ul-husna,
tetapi dengan maksud menodai nama Allah atau menggunakan asma ul-husna
untuk selain Allah’.